Isnin, 28 Disember 2009

SEJARAH RAUB


SEJARAH RAUB

( VERSI PERTAMA )


Menurut kepercayaan orang-orang tua daerah ini, Raub telah diteroka dan dibuka dalam kurun ke 18. Mengikut sumber-sumber yang diperolehi, dua orang pemuda bersama ayah mereka telah melalui hutan rimba serta menyusuri sebatang anak sungai. Setelah sekian lama mengembara mereka sampai ke tebat atau tebatan (satu kawasan di mana pengaliran air sungainya tersekat atau digelar empang).

Sebaik sampai di situ, si ayah mengatakan kepada anaknya, di situlah tempat yang paling sesuai untuk berehat. Pasir terdapat di kiri dan kanan tebatan itu serta kelihatan amat bersih. Kedua dua pemuda itu bersetuju dengan cadangan ayah mereka. Mereka pun mula membuka kawasan itu. Sekitarnya dibersihkan lalu didirikan sebuah pondok untuk kediaman mereka. Setiap hari ketiga-tiga beranak itu memasuki hutan untuk mencari rotan, damar, getah, jelutung dan sebagainya.


Mereka juga memetik pucuk dedaun yang begitu subur berhampiran tebatan untuk dijadikan makanan. Segeralah ketiga beranak itu meraup pasir-pasir di tebing tebatan itu dengan tangan masing-masing. Setiap kali diraup, setiap kali emas diperolehi. Disebabkan emas begitu banyak dan terlalu mudah untuk mendapatkannya, hanya menggunakan tangan untuk meraup, adalah dipercayai mereka menamakan tempat itu dengan gelaran "RAUB".
Sejak itu setiap hari mereka terus meraup emas. Kawasan tebatan yang pertama mengeluarkan emas tadi, sekarang ini ialah di Padang Besar Majlis Bandaran Daerah Raub. Begitulah mengikut cerita lisan orang tua di daerah ini. Bagaimanapun, jika gelaran nama Raub lahir daripada kerja meraup emas tadi, sedikit perbezaan timbul dari segi ejaan. Perkataan meraup emas lahir dari kata dasar "RAUP" sedangkan ejaan sekarang adalah "RAUB". Namun begitu, kemungkinan bahasa daerah itu lebih sesuai digunakan dengan ejaan "RAUB" dari "RAUP".

( VERSI KEDUA )

Raub dahulu dikenali sebagai Rao ( Rawa ). Ianya digelar Rao kerana dahulu dan sekarang Raub terkenal di Malaysia sebagai kawasan majoriti suku kaum melayu rawa. Dahulu Orang Rawa membuka penempatan di Raub disebabkan banyak peluang pekerjaan sebagai buruh dalam perlombongan emas. Ini kerana Orang Rawa memang pakar dalam bidang perlombongan .

Banyak kampung - kampung disekitar Raub menggunakan nama kampung-kampung yang sudah ada di penempatan asal mereka
( Sumetera, Indonesia ), sebagai contoh : Kampung Pintu Padang. Disebabkan peredaran masa , sebutan Rao telah bertukar kepada Raub.

Dielek atau sebutan percakapan Orang Rawa masih kuat diamalkan di Raub terutama kawasan Kampung Melayu Sempalit, Kampung Ulu Gali, Kampung Tok Machang, Kampung Pintu Padang, Kampung Tanah Bercangkul, Kampung Gali Tengah, Kampung Gali, Kampung Gali Hilir, Kampung Gali Lurus, Lepar Dan Kampung Durian Sebatang.

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama